feedburner

Lorem ipsum dolor sit amet,
consectetur adipisicing elit,
sed do eiusmod tempor incididunt ut labore
et dolore magna aliqua.

Harian Metro: Hati

sumber :-

Harian Metro: Hati


Adaptasi teknik dari Thai, China

Posted: 30 Apr 2012 08:38 AM PDT

DI PINTU masuk pusat terapi ini tertera perkataan Selamat Datang ke Maju Therapy Zone. Sebelum anda dibenarkan masuk, seorang gadis akan menulis butiran mengenai penyakit dan rawatan diperlukan. Selepas itu anda akan dibawa menemui tukang urut yang berada di dalam bilik disediakan.

Berbeza dengan kebanyakan pusat terapi dan urut yang menggunakan gadis jelita sebagai pakar terapi, pusat perkhidmatan urut milik Siti Hadijah Abu Bakar, 37, bersama rakan kongsi Hasidi Hassan ini menawarkan tukang urut yang bukan saja berpengalaman dalam bidang urutan tetapi kesemua mereka terdiri daripada orang kelainan upaya (OKU). Daripada pemilik, penyambut tetamu, kerani dan enam tukang urut, kesemuanya menghadapi masalah cacat penglihatan.

Bagi Hadijah, sebagai insan OKU dia memahami kesukaran golongan ini mendapat pekerjaan. Ini kerana masyarakat masih prejudis terhadap OKU sehingga sukar menerima mereka sebagai pekerja.

Dengan niat membantu golongan cacat penglihatan, Hadijah yang tidak dapat melihat sejak dilahirkan membuka Therapy Zone yang terletak di Maju Junction, Kuala Lumpur.


Pada mulanya Hadijah menghadapi kesukaran mendapat kepercayaan masyarakat lantaran pusat urut miliknya tidak mementingkan dekorasi menarik atau menyediakan pakar terapi wanita yang langsing, cantik dan menawan.


"Namun saya sering tekankan kepada pekerja supaya mengurut menggunakan ilmu dengan ikhlas. Lama-kelamaan daripada seorang pelanggan mereka menyebarkan mengenai keistimewaan pusat terapi ini kepada rakan dan keluarga. Ada pelanggan yang hampir dua tahun menjadi pelanggan setia kerana berpuas hati dengan perkhidmatan disediakan," katanya yang memperoleh sijil urutan badan di Akademi China Chongzheng dan menjalani latihan jangka panjang di akademi urutan di Guangzhao, China.

Menurut Hadijah, hampir 90 peratus pelanggan terdiri daripada mereka yang bermasalah. Ada yang datang memberitahu sakit tangan namun setelah dirawat ia berpunca daripada masalah tulang belakang. Jadi tukang urut akan memperbetulkan dulu masalah ini sebelum ke bahagian lain.

Menyedari hakikat setiap orang memerlukan teknik rawatan berbeza, Hadijah bersama rakan kongsinya Hasidi mengadaptasikan teknik urutan seperti urut Thai, tradisional dan teknik tuna yang berasal dari China. Aplikasi teknik akan dibuat dalam irama tertentu untuk mengembali dan menjaga keharmonian badan agar sentiasa seimbang.

"Rekondisi daripada urutan mampu membuatkan pesakit tidur lebih lena, kurang tekanan, wajah lebih berseri, cergas dan sentiasa ceria," katanya.

Tambahnya, banyak manfaat diperoleh daripada rawatan terapi urut. Antaranya membantu untuk melancarkan peredaran darah, meningkatkan daya ketahanan badan, mengurangkan sakit kepala, masalah kencing manis, gout, darah tinggi, tulang belakang, saraf tersepit dan sakit sendi.

Di samping itu, rawatan ini juga mampu meningkatkan kecergasan, kadar metabolisme dan mengurangkan lenguh badan.

Selain mementingkan kualiti, setiap tukang urut dilatih dalam bidang urutan dan mempunyai pengalaman yang luas. Mereka juga sangat berdisiplin dan bekerja bermula jam 10 pagi hingga 8 malam setiap hari.

"Oleh kerana kebanyakan mereka berasal dari luar Kuala Lumpur jadi saya memberi cuti yang panjang pada satu-satu masa misalnya dua minggu bagi membolehkan mereka bertemu keluarga. Pada masa sama, saya tidak menghadapi masalah pekerja yang kerap bercuti," katanya.

Bagi Hadijah, mengambil semua tukang urut cacat penglihatan membantu meningkatkan taraf hidup mereka. Jika sebelum ini mereka menjalankan urut sambilan dengan berkunjung ke pusat beli-belah atau pergi ke pejabat tetapi dengan memiliki kerjaya tetap, kehidupan golongan ini lebih terjamin dan mampu menyara keluarga.

Sebagai majikan yang turut tergolong dalam OKU, Hadijah mengakui dia lebih memahami perasaan orang cacat penglihatan serta mengetahui cara meningkatkan semangat mereka sekiranya ada yang tertekan atau menghadapi masalah.

OKU sama seperti orang lain mempunyai hati dan perasaan malah adakala mereka menjadi lebih sensitif dan memerlukan sokongan moral daripada orang sekeliling.

Ini kerana mereka sering dianggap sebagai golongan yang suka meminta-minta dan mengharapkan simpati orang ramai. Menerusi kemahiran mengurut yang diperoleh daripada latihan dan pengalaman, ia dapat membentuk jati diri supaya lebih berkeyakinan sekali gus membuktikan kepada masyarakat golongan ini turut menyumbang kepada ekonomi negara.

Akibat kurangnya keyakinan diri dan persepsi masyarakat, rata-rata golongan ini bergaul dengan mereka yang senasib saja. Sebagai majikan setakat ini Hadijah tidak mempunyai sebarang masalah dengan pekerja kerana golongan ini sama ada lelaki atau perempuan sangat komited dan bekerja dengan bersungguh-sungguh.

Bagi mereka, setiap kudrat dan tenaga harus disumbangkan dengan jujur dan ikhlas setimpal dengan ganjaran yang diterima.

Pusat urut milik Hadijah yang dibuka pada 2004 menyediakan dua bilik rawatan untuk lelaki dan wanita dengan dua katil disediakan. Oleh kerana ruang terhad, Hadijah menasihati pelanggan supaya membuat temu janji terlebih dulu bagi mengelak mereka menunggu lama.

"Kami amat mengutamakan keselesaan pelanggan ketika rawatan. Oleh itu, pelanggan dinasihatkan membuat temu janji sama ada secara dalam talian atau menelefon supaya tidak perlu menunggu lama," katanya yang memberitahu kebanyakan pelanggan dari seluruh Malaysia termasuk Brunei, Dubai dan Singapura.

Tukang urut Kamariah Mat Rohim, 28, yang sudah empat tahun bekerja di Therapy Zone mengakui gembira kerana dapat menabur bakti kepada orang ramai. Dia yang berasal dari Terengganu sebelum ini bekerja di Pusat Latihan Temerloh, Pahang, kemudian diambil Hadijah dalam sesi temu duga yang diadakan di Pahang.

"Saya gembira bekerja di sini kerana memperoleh pendapatan tetap setiap bulan.
Dengan wang ini saya dapat membantu keluarga di kampung," katanya yang cacat penglihatan sejak lahir.

Tambahnya, bertugas sebagai tukang urut buta dia hanya perlu menjalankan tugas dengan penuh ikhlas bagi meredakan kesakitan pelanggan.

"Keistimewaan golongan seperti kami, pelanggan tidak perlu merasa malu kerana kami tidak dapat melihat. Ada juga yang prejudis ketika kali pertama bertemu.
Namun selepas kesakitan mereka berkurangan, ada yang mengucapkan terima kasih dan datang lagi mendapatkan rawatan.

"Melihat pelanggan gembira memberi kepuasan kepada saya. Kami tidak ubah seperti doktor tidak bertauliah yang memberikan rawatan bagi menyembuhkan pesakit," katanya yang menetap di Brickfields bersama kawan-kawan.

Muhd Azeman Abd Talib, 39, yang menjadi tukang urut sejak dua tahun lalu mengakui selesa bekerja di sini kerana memperoleh banyak pengalaman dan pendapatan tetap bergantung kepada jumlah komisen. Selain itu, persekitaran dan kawan-kawan sangat membantu memberikan rasa semangat serta keseronokan bekerja.

Dia yang sebelum ini menjadi tukang urut sambilan di Sungei Wang dan Brickfields memberitahu kelainan di pusat terapi ini adalah daripada segi rawatan.

"Setiap urutan tidak menggunakan minyak seperti yang pernah dilakukan sebelum ini. Hanya mencari bahagian yang sakit dan saya mengurut sehingga pelanggan selesa. Kepuasannya apabila pelanggan berpuas hati dengan teknik rawatan dan membuat temujanji seterusnya," katanya yang tinggal di Pantai Dalam, Kuala Lumpur.

Walaupun terpaksa berulang-alik dari rumah ke tempat kerja, itu tidak menjadi masalah kerana sudah biasa menaiki kenderaan awam.

Bagi pelanggan setia, Hairizan Hamzah sejak setahun lalu dia mendapatkan rawatan urut badan di pusat Therapy Zone, Maju Junction sekadar ingin mencuba.

Namun selepas kali pertama, dia berasa selesa dan secara berterusan menjalankan urut badan setiap bulan. Dia yang sebelum ini membuat urut badan secara tradisional mengakui walaupun diurut tukang urut buta namun perkhidmatan diberikan sangat berkualiti dan memuaskan.

"Saya memang ingin mencari tukang urut berpengalaman. Ini kerana mereka lebih mahir mengenai setiap inci tubuh dan mampu mengurangkan kelegaan selepas seharian bekerja di pejabat," katanya.

Hasilnya dengan urutan setiap bulan, badan berasa lebih ringan, kurang sakit kepala dan lebih mudah bangun pagi. Malah ia sangat sesuai bagi wanita yang sering menghadapi masalah angin kerana ia mampu mengurangkannya.

"Sebelum ini saya selalu penat, sakit bahu dan belakang badan kerana duduk terlalu lama tetapi selepas menjalani sesi urutan selama beberapa bulan, lama-kelamaan masalah yang saya alami semakin berkurangan.

"Selain itu teknik urutan yang tidak menggunakan minyak memudahkan saya untuk bekerja semula. Mereka juga memberi penerangan mengenai setiap teknik digunakan serta masalah dihadapi pelanggan. Harga ditawarkan juga murah untuk satu jam hanya RM45 saja," katanya yang turut membawa rakan-rakan bersama.


Istikharah Sang Perindu (Siri 38): Reda terima dugaan, sabar terima ujian, syukur terima pemberian

Posted: 30 Apr 2012 08:07 AM PDT

AKU jadi cacing kepanasan. Bangun salah, duduk salah dan nak baring tepi Isyah dan cuit-cuit pipinya yang berbau susu pun salah. Aku tak tahu nak buat apa. Bilik rasa terbakar. Rasanya mahu saja aku tambahkan darjah kesejukan penyaman udara tetapi kasihan pula Isyah. Kaku pula dia nanti. Dia bayi Malaysia, bukannya bayi Australia. Dia lahir dalam hujan bukan dalam salji. Aku peluk dan cium Isyah.

Hei, nak buat apa ni?

Aku duduk di birai katil. Panasnya! Rasa nak terbakar. Rasanya lebih rasa nak mati dari cacing yang kepanasan yang melenting-lenting berikhtiar selamatkan diri. Kepanasan tercampak di atas pasir di padang pasir Sahara yang suhunya melebihi 40 darjah Celsius. Kepanasan dibakar pasir yang berasap dipanah matahari gurun.

Kenapalah Pak Long tak balik-balik? Ini ikhtiar terakhir aku untuk padamkan api dalam sekam, dalam keluarga terhormat Tuan Haji Mustakim, imam masjid Parit Bunga dengan anak tunggalnya Prof Dr Syafikah Haji Mustakim, pakar runding motivasi, psikologi dan kaunseling yang terkenal.


Sesungguhnya, tak berdaya aku nak padamkan api itu seorang diri; tangan aku kecil, timbanya juga kecil sedangkan sekam yang terbakar lebih luas daripada Ladang Fikrah Solehah. Bukan lima minit kebakaran senyap-senyap itu terjadi, tapi dah lebih lima belas tahun.


Lima belas tahun; apinya masih tak padam-padam. Inilah sejarah kebakaran yang paling lama terjadi dalam dunia agaknya. Kalaulah mereka nak mencipta rekod dunia pun, ciptalah rekod yang lebih mulia dan terpuji daripada itu. Takkan Pak Long dan Kak Ika tak terfikir tentang itu?

Puas dah aku berdoa agar Pak Long cepat balik. Isyah yang suci wajahnya nampak macam ikut berdoa supaya Allah gerakkan hati dan kaki Pak Long untuk cepat-cepat sampai di rumah. Tak sanggup aku mendengar rintihan pilu dua beranak di ruang tamu rumah Pak Long.

Isyah nyenyak sungguh tidurnya. Tiba-tiba aku dengar ada kereta berhenti. Aku jadi teruja bukan main. Cacing yang kepanasan tiba-tiba melenting dengan kuatnya dan tercampak di padang rumput Savana. Hem, barulah dapat tarik nafas.
Baru nampak ada rumput hijau yang sejuk dan saujana mata memandang. Sejuk rasa badan.

Cepat-cepat aku intai ikut tingkap. Aku nampak kopiah putih di kepala Pak Long, lapang rasa hati.

Syukurlah akhirnya Pak Long balik juga. Aku berdoa lagi semoga rancangan suci, hajat mulia dan tindakan murni aku ini berjaya mencapai matlamatnya.

"Saya kena pergi hospital."

Belum sempat aku tiba di ruang tamu, Pak Long nampak termengah naik tangga.
Syafik menanti dalam kereta.

Berderau darah aku. Pak Long sakitkah? Kak Ika bangun sambut, salam dan peluk Pak Long. Pak Long cuma terangguk-angguk. Sakit betul hati aku. Tergopoh-gapah aku keluar. Hampir aku jadi tersungkur terlanggar bendul pintu bilik menghala ke ruang tamu. Mak Long terjerit terkejutkan aku. Aku sabarkan Mak Long dan berkata tak ada apa. Dada berdebar kuat. Tidak pernah aku rasakan debaran yang kuat macam ini. Marah benar aku pada Pak Long.

"Ayah sakit?" Belum sempat aku bertanya, Kak Ika bertanya dulu.

Aku pandang Kak Ika dengan muka cemas. Aku rasa bersalah sangat.

"Ayah sakit?" ulang Kak Ika lagi. Suaranya gugup.

Aku dengar ada tangisan pilu dalam ketar suara itu. Aku ikut sebak. Air mata rasa nak meleleh. Aku kuatkan hati, agar tidak ikut tersebak. Aku yang pujuk Kak Ika pulang, aku yang tipu Pak Long, aku bertanggungjawab di atas apa sahaja yang terjadi dalam pertemuan ini. Pertemuan yang aku harapkan akan ada jalan perdamaian.

Akukah yang tercepat membuat tindakan atau damai itukah yang lambat sangat datang?

"Siapa kita nak buat keputusan paling baik untuk diri orang lain? Rasulullah sendiri berdoa; Ya Allah sesungguhnya aku tidak mampu membuat keputusan dan pilihan yang terbaik untuk diriku sendiri. Hanya Engkaulah Ya Allah yang membuat keputusan dan berikan aku pilihan yang paling baik untuk diriku. Ya Allah janganlah kau serahkan diriku kepada diriku sendiri walau sekelip mata pun, atau lebih cepat dari itu. Bekalkan aku dengan reda, syukur dan sabar Ya Allah menerima apa sahaja keputusan dan pilihan-Mu."

Syukurlah, bila aku rasa bingung dan huru-hara, suara Ustaz Naufal mesti datang berikan peringatan.

"Kalau Rasulullah dan pasti kekasih Allah, tetapi masih dengan rasa rendah hati memohon dan menyerahkan semuanya kepada Allah, siapa kita kalau kita rasa kita pandai, bijak dan hebat boleh buat keputusan dan pilihan yang lebih baik daripada pilihan Allah?"

Tersungkur sekali lagi aku. Kali ini bukannya rasa badan aku yang nak jatuh tersungkur, tapi egoku jatuh tersungkur. Malu aku, kalau Ustaz Naufal tahu apa yang aku rasakan tadi. Dan malu juga aku pada Kak Ika. Ya, kalau Allah takdirkan, perdamaian itu masih tidak bertemu titik penamatnya, aku reda. Sudah pun aku berusaha sebaik mungkin, keputusannya tetap milik Allah.

Apa lagi yang boleh aku buat? Selain daripada reda terima ketentuan, sabar terima ujian, syukur terima pemberian. Iya, itu sahaja yang mampu aku buat, reda, sabar dan syukur.

"Alhamdulillah." Pak Long menjawab macam tak acuh.

Aku berdiri di ambang pintu. Aku perhatikan wajah tuan imam itu, apakah dia sembunyikan resah dan sayangnya lagi, seperti selalu? Atau apakah masih terbangun lagi egonya yang baru direbahkan sedangkan ego itu sudah lama bersarang dalam hati sanubarinya? Ego seorang ayah kepada anaknya?

"Jom Kak Ika kita hantar Pak Long. Mak Long jaga Isyah. Nanti Jehan ambil ibu dan nenek temankan Mak Long." Aku sudah pun berdiri di hadapan Pak Long.

Dia nampak sihat. Deria keenam aku memberitahu, Pak Long tak apa-apa. Aku pun pura-pura bertanya cemas dan penuh perhatian dan tanggungjawab.

"Pak Long rasa sesak nafas? Atau pening?"

"Pak Long nak pergi dengan Syafik." Aku tanya lain, dia jawab lain.

"Kenapa?"

Aku sudah mula rasa tak sedap hati. Aku sudah mula rasakan, hati Kak Ika yang parah bertambah parah.

"Kalau ia pun biarlah Fikah dan Jehan yang hantar." Suara Mak Long terdengar mantap.

Pertama kali aku dengar suara Mak Long semantap itu. Itulah suara pembela seorang ibu yang sekian lama bersabar, akhirnya kesabaran yang menjadi warga negara hatinya, bangun memprotes ketidakadilan yang disaksikan bertahun-tahun.

Pak Long pandang muka Kak Ika. Aku jadi berdebar-debar. Aku nampak pandangan matanya penuh rindu, mata penuh kasih. Hampir saja aku buat sujud syukur saat itu. Tiba-tiba dia pandang aku. Pandangan mata itu berubah serta-merta.
Daripada penuh syahdu syahdan, tiba-tiba berubah jadi garang.

"Jangan nak tuduh Pak Long yang bukan-bukan." Tiba-tiba sahaja dia cakapkan itu.

"Tuduh apa?" Aku pandang Pak Long satu macam.

Punyalah bagus aku layan perasaan yang mulia tadi, tiba-tiba jatuh bersepai.
Hormat dan sayang aku pada Pak Long yang sesaat tadi berada dengan megahnya di puncak gunung Everest, jatuh berguling-guling akhirnya tergolek di hujung tangga rumah Pak Long. Iyalah, namanya pun sesaat. Datangnya pun hanyalah sesaat.

"Pak Long yang selalu tuduh Jehan macam-macam. Walaupun pimpinan melalui teladan, tapi Jehan tak nak ikut apa yang Pak Long buat. Jehan nak jadi pengikut yang selalu ambil teladan."

"Banyaklah kau punya teladan. Jangan nak tipu Pak Long. Nampak sangat Jehan marahkan Pak Long. Nampak sangat. Bukannya Pak Long buat salah pun, Pak Long kena pergi hospital dengan Syafik. Itu saja. Tak boleh? Salah?"

"Kenapa Syafik? Kenapa Kak Ika dan Jehan tak boleh hantar Pak Long? Siapa yang jadi anak Pak Long? Syafik atau kami? Tak baik Pak Long buat macam ni. Pak Long buat kami rasa terhina dan tak berguna. Boleh Pak Long buat macam tu? Salahkah kalau Jehan dan Kak Ika rasa terhina dan tidak berguna? "

Aku kawal suara agar tidak lebih tinggi daripada suara Pak Long. Dia ayah Kak Ika. Aku tak mahu Kak Ika rasa tersinggung atau terguris kerana aku tak hormatkan ayah yang dia kasihi dan cintainya itu. Hei, tak sempat satu saat pun nak rasa gembira kerana Pak Long pulang ke rumah akhirnya, kegembiraan itu melayang dan hanyut juga. Punyalah bagus aku fikirkan rancangan ini, ke laut juga akhirnya.

"Terhina apanya Jehan. Itulah kau, selalu tuduh Pak Long yang bukan-bukan. Pak Long tergesa-gesa balik ni nak beritahu ayah Syafik masuk wad, dapat serangan jantung. Tak percaya?"

"Bukannya tak percaya."

"Dah tu apa namanya?"

Aku hanya mengeluh. Kak Ika berdiri di tepi jendela. Mak Long berdiri di sebelah Kak Ika. Apa pun alasan Pak Long, aku dapat rasakan, remuk di hati Kak Ika semakin remuk jadinya. Pilu di hati Kak Ika semakin pilu dan pedih.

Melihat keadaan yang melemahkan semangat ini, daya fikiran aku jadi semakin lemah. Bodoh aku jadinya. Aku tak tahu lagi nak fikir, langkah seterusnya untuk buatkan Kak Ika bahagia. Yang paling penting untuk buatkan Kak Ika percayakan aku. Aku tak mahu Kak Ika tuduh aku buat cerita. Cerita karut yang sengaja nak permainkan dia.

Macam mana lagi cara terbaik aku nak yakinkan Kak Ika?

Kalau Kak Ika rasa kecewa, aku beratus kali ganda rasa kecewa dengan tindakan Pak Long. Hari itu bercakap benar-benar mahukan cucu, mahu Kak Ika tunaikan hajat dia yang besar dan suci murni. Hajat untuk menantukan Ustaz Naufal. Bila dengan susah payah aku dengan suka dan rela menjadi sang penunai hajat itu, lain pula jadinya. Akhirnya aku terpaksa menjadi duka dengan tak relanya menerima segala tindakan dan perbuatannya pula.

Sampai hati Pak Long buat aku macam ini. Aku dah buat macam-macam, tapi akhirnya ke laut juga. Siapa yang tak kecewa?

Punyalah susah aku nak yakinkan Kak Ika tentang hajat dan harapan suci Pak Long, apabila Kak Ika percaya, dia pula perdayakan aku. Kalau Kak Ika rasa aku tipu dia, aku rasa empat puluh kali ganda rasa kena tipu Pak Long.

Menenangkan keadaan, aku tenangkan hati, tenangkan diri. Aku pujuk hati untuk menerima semua kata-kata Pak Long. Iya, semua kata-kata Pak Long adalah benar dan betul-betul benar. Aku saja yang menyangka bukan-bukan. Dan meraikan kebenaran itu aku menawarkan diri hantar Pak Long ke hospital menziarah besan impian hatinya itu. Biarlah dia buat apapun pada aku, sabar sajalah,
asalkan jangan aku buat apa-apa pada dia.

"Kalaupun ayah Syafik yang masuk hospital, biar Jehan dan Kak Ika yang hantar Pak Long. Kita ziarah sama-sama. Jehan dan Kak Ika pun dah lama tak jumpa ayah Syafik."

Aku harap Pak Long terima cakap aku. Niat aku memangnya suci dan murni, kerana bila aku yang hantar, dia tak perlu lama-lama di hospital, sekadar menziarah dan mendoakan ayah Syafik. Aku takut bila dia pergi bersama Syafik, entah bila pula dia akan balik.

Aku nak jaga hati Kak Ika sampai ke peringkat paling maksimum. Tak sanggup aku lihat luka di hati Kak Ika bertambah parah.

Tapi itulah dia, kalau dah Pak Long, Pak Longlah juga. Kata dia saja yang betul. Sekali dia berkata iya, nak tarik balik, tidak sekali-kali. Kalau dia sudah buat keputusan lebih berminat pergi ke hospital bersama Syafik, aku kenalah terima. Itu hak dia. Hak dia untuk terus pegang kuasa veto sebagai ketua keluarga.

Buang perasaan aku saja kalau rasa kalah. Aku pujuk hati, ini semua perancangan Allah. Ini bukan rancangan Pak Long pun. Kalau Allah tak izinkan, aku pujuk Pak Long empat ratus kali pun, hati Pak Long masih tak terpujuk. Dia tetap tak mahu ikut kata aku.

Agaknya, hangus sebelah kakinya kalau ikut kata aku. Tak tahulah aku, apa yang bersarang dalam hati perut, dalam otak, dalam paru-paru dan seluruh tubuh Pak Long. Mahu tak mahu, apa saja perangai Pak Long aku kena telan dan terima saja. Terpaksalah akur.

Kata Ustaz Naufal, antara kita dan syaitan diberi satu keadaan yang menjadi rebutan. Kalau kita tak istiqamah membuat perkara yang makruf, syaitan yang ambil istiqamah itu untuk menghasut kita lakukan perkara yang mungkar. Kalau kita tak yakin untuk bermuhajadah melakukan kebaikan, syaitan yang merebut keyakinan itu untuk bermuhajadah menghasut kita melakukan kejahatan.

Dalam kes aku dengan Pak Long, kalau aku tak sabar pujuk hati untuk maafkan Pak Long, syaitan pula nanti yang akan sabar pujuk aku marahkan dia. Kalau aku tak bijak pimpin dan uruskan marah aku, syaitan pula nanti yang rebut bijak itu untuk jadi ketua, mengarah akan menghemburkan marah dengan sesiapa saja.

Ketika Pak Long ikut Mak Long ke bilik untuk bersiap-siap ke hospital, aku cuba pujuk Kak Ika untuk bertenang. Tapi, belumpun sempat aku pujuk Kak Ika, dia pujuk aku dulu.

"Ikut saja apa kata ayah, Jehan. Biarlah dia nak pergi dengan Syafik. Tak apa.
Lagipun ayah dah anggap Syafik macam anak dia sendiri. Kita kenalah hormatkan perasaan dia. Jehan jangan susah hati, sama saja di mata ayah, kita atau Syafik; ayah rasa semuanya anak-anak dia."

Aku yang tadi bimbangkan hatinya semakin tidak tenteram, dia pula yang bimbangkan aku, takut aku jadi semakin huru-hara dan semakin tertekan.

Aku akur dan kena terima hakikat ini, pakar motivasi dan kaunseling itu memang pakar mendamaikan huru-hara hati manusia.

Aku minta izin untuk ikut Pak Long ke hospital. Jadi wakil Mak Long dan semua orang perempuan dalam keluarga Haji Mustakim. Syafik tersenyum sampai telinga.
Menyampah pula aku. Macamlah aku pergi melawat bakal bapa mertua. Minta maaf Syafik, tadi Kak Ika yang suruh aku temankan Pak Long.

Dalam bertengkar-tengkar dengan Pak Long tadi, Kak Ika sempat berbisik pada aku. Siapa aku nak ingkar kata-kata Kak Ika. Kalau dalam dunia ini ada pangkat adik derhaka, akulah adik yang derhaka itu kalau aku tak ikut kata dia. Mahu saja aku jelaskan itu pada Syafik, tapi takut pula Pak Long berleter tak berhenti-henti, aku kuncikan mulut. Tak mahu cakap apa-apa. Kak Ika dan Mak Long tolong jaga Isyah. Esoknya pagi-pagi lagi aku cari Ustaz Naufal dan Kak Johana di pejabat.

Kak Johana tanya kenapa aku sudah lama tidak ke pejabat.

"Sibuk nak pilihan raya ni kak. Jehan ini kan calon ahli parlimen kawasan keluarga Haji Mustakim. Banyak perkara yang Jehan kena uruskan, dari segi ekonomi, politik dan sosial."

Kak Johana ketawa sampai merah-merah muka.

Aku tanyakan Ustaz Naufal adakah dia sudah dapat gerakan dalam hatinya untuk bertemu Kak Ika di rumah Pak Long. Ustaz Naufal kata, belum.

Aku pun tunggulah saat yang paling berharga itu.

Tiba-tiba ada panggilan daripada Hendry. Dia berhajat nak jumpa aku. Aku rasa terpanggil untuk tunaikan hajatnya itu. Aku minta pendapat Ustaz Naufal. Dia suruh aku pergi. Entah mengapa aku jadi begitu ingin tahu apa yang ada dalam hubungan mereka. Aku beritahu Kak Ika nak ke Kluang, nak cari pembekal makanan lembu. Padahal aku berjumpa Hendry di Serdang.

Tak susah mencari dia yang baru keluar dari kedai buku terbesar daerah itu.
Dia mahu bersolat di Masjid Tuanku Mizan di Putrajaya. Aku bawa dia ke sana.

"Saya orang berdagang Jehan. Mencari ilmu, mencari cahaya petunjuk. Saya menaruh harapan yang besar pada keluarga Jehan. Itupun atas keizinan Tuhan.
Tapi, orang berdagang macam saya ini, apa yang boleh saya buat, Jehan?"

Mati akal aku mendengar kata-kata yang memukau itu. Lama aku terdiam. Tapi apabila terfikir yang itu hanyalah luahan rasa hatinya sahaja, cepat-cepat aku tanyakan sesuatu untuk menduga dia.

"Awak takut? Atau tak yakin pada apa yang awak rasa?" Ewah pandai juga aku goreng dia. Inilah bagusnya jadi peminat tegar Cahaya Ilham, semua novel-novel habis aku baca. Apa lagi, bila keadaan terdesak, aku terpaksalah pinjam dan curi ayat-ayat dia.

Mukanya tenang. "Jehan.." Suaranya juga tenang. "Jehan, rasa cinta itu hak saya. Sebagai manusia, saya berhak untuk bercinta dengan siapa saja."

"Siapa yang menafikan hak awak?"

"Tidak ada sesiapa yang menafikannya." Dia menjawab tenang dan semakin yakin.
"Saya terima apa saja dengan hati lapang. Apa pun yang Allah berikan, saya terima dengan syukur. Itulah anugerah yang paling mulia. Anugerah daripada Yang Maha Pencipta. Anugerah yang buatkan saya berani dan bersemangat untuk jalani hidup ini."

"Awak bercakap pasal cinta?"

"Ya, ada lagi kuasa yang lebih agung yang memberi saya nikmat cinta itu. Kuasa cinta, anugerah yang Maha Pencinta."

"Awak yakin pada kuasa itu?"

"Saya mahu dekatkan diri, hati, jiwa dan roh saya pada yang Maha Agung itu.
Saya mahukan cinta hakiki."

"Cinta hakiki?" Tidak percaya aku, aku boleh tanyakan dia perkara itu.

Meremang bulu roma ada, takut ada, nak tergelak pun ada apabila aku dengar suara yang keluar dari mulut aku sendiri. Lembut macam angin. Geli ada, nak muntah pun ada. Kalaulah Olin ada, aku rasa dah berbakul dia muntah mendengar suara aku selembut itu. Bukan sahaja Olin, lembu-lembu dan kambing dalam Ladang Fikrah Solehah juga ikut termuntah. Tapi nak buat macam mana, Kak Ika punya pasal, aku terpaksa buat perkara ini semua.

"Itu anugerah dan amanah kepada saya. Saya terima dan pelihara sebaik mungkin.
Awak jangan bimbang Jehan, saya berdoa, cinta saya tidak akan berbelah bagi.
Cinta apa saja yang Tuhan berikan pada saya. Saya yakin." Dia menarik nafas panjang dan melafazkan kata-kata seterusnya satu persatu.

"Tuhan mencipta Hawa untuk Adam."

Tiba-tiba aku teringat yang Pak Long pernah merampas fon di tanganku ketika aku sedang bercakap dengan Hendry yang bertanyakan Kak Ika. Aku rasa bersalah amat sangat.

"Maafkan saya kerana tindakan Pak Long saya."

Dia hanya tersenyum. Tenang di wajahnya tidak bergoyang walau sedikit pun.

"Itu juga cinta yang besar Jehan. Cinta seorang ayah kepada anaknya. Awak sudah lupakah pada cinta Nabi Ibrahim kepada anaknya Nabi Ismail? Cinta Siti Sara kepada anaknya di bukit Safa dan Marwah, semuanya itu cinta ibu bapa yang besar pada anak-anak."

"Awak pun tahu tentang nasihat Lokman Al Hakim kepada anak-anaknya?"

"Iya itu semua dijelaskan dengan terperinci dalam al-Quran." Dia mengeluh panjang. Lama dia berfikir. "Barangkali Pak Long awak lebih berhak pada hidup saya daripada saya sendiri."

Kata-katanya begitu menusuk. Aku tak tahu nak cakap apa.

"Kita masih boleh berdoa Jehan. Saya teringin berdoa di puncak bukit Safa dan Marwah. Saya mahu Tuhan berikan saya cinta yang besar itu."

Kata-kata yang menusuk itu berikan aku rasa pilu pula.

"Kalaulah boleh saya bawa awak ke sana Hendry." Kali ini aku betul-betul bercakap dari hati. Dari hatiku sendiri. Bukan lagi pinjam dan curi kata-kata dari novel-novel Cahaya Ilham. Tiba-tiba rasa teruja nak bawa dia ke sana.

"Di Makkah?" Dia juga rasa teruja. Suaranya gementar. "Satu hari nanti saya akan bertawaf, bersai, bermalam di Muzalifah, melontar di Jamratul Akabah, bermalam di Mina dan wukuf di Padang Arafah. Itu cita-cita besar saya Jehan."

Tidak percaya apa yang aku dengar.

"Betul ni?"

Dia mengangguk. "Saya sangat berterima kasih pada Syafikah. Dia banyak membantu saya, dan meyakinkan saya kesucian ajaran Rasulullah."

Aku tak tahu nak cakap apa.

"Mungkin saya belum berkesempatan untuk ke sana di waktu terdekat ini. Saya dengar awak sekeluarga nak pergi bulan depan. Awak pergilah dahulu. Serukan nama saya di depan Kaabah, di Baitullah, katakan saya amat teringin menjadi tetamu Allah. Doakan impian saya akan jadi kenyataan."

Aku hanya mengangguk.

"Bila saya sudah menjadi tetamu Allah, saya yakin, Pak Long awak akan terima saya menjadi tetamu keluarga awak. Saya nak jadi sebahagian daripada keluarga awak, Jehan. Ini juga impian saya."

Hampir sahaja aku tertekan brek kerana terkejut. Dada aku berdebar kuat. Ya Allah benarkah apa yang aku dengar ini?


Kosmo Online - Komuniti Kita

sumber :-

Kosmo Online - Komuniti Kita


55 sertai kursus kemahiran asas bahasa isyarat

Posted:

55 sertai kursus kemahiran asas bahasa isyarat

55 sertai kursus kemahiran asas bahasa isyarat


ABD JALIL (duduk tengah) bergambar bersama peserta kursus bahasa isyarat di Hotel Seri Malaysia Kepala Batas, Pulau Pinang baru-baru ini.


MAKLUMAT. Seramai 55 peserta pelbagai agensi kerajaan di seluruh negara menyertai Kursus Bahasa Isyarat Malaysia Tahap 1 anjuran Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Pulau Pinang di Hotel Seri Malaysia, Kepala Batas baru-baru ini.

Pengarah Belia dan Sukan Pulau Pinang, Abdul Jalil A. Rashid menyampaikan sijil kepada peserta mengikuti kursus selama dua hari itu.

Pegawai Pembangunan Sukan Paralimpik di JBS negeri Pulau Pinang, Kho Chin Hong berkata, banyak perkara baharu disampaikan kepada peserta mengenai kemahiran asas berkomunikasi dengan masyarakat orang kurang upaya (OKU) pendengaran.

Katanya, peserta terdiri daripada petugas di JBS, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Pelajaran, Institut Latihan Perindustrian, hospital dan badan bukan kerajaan (NGO) serta Persatuan Sukan dan Rekreasi Orang Kurang Upaya (Person).

70 anak yatim sertai program kerohanian

Posted:

70 anak yatim sertai program kerohanian

70 anak yatim sertai program kerohanian


SEBAHAGIAN anak yatim yang menyertai program kerohanian di Kangar baru-baru ini.


BELAJAR. Seramai 70 orang kanak-kanak Yayasan Penyayang Tun Dr. Siti Hasmah, Perlis menyertai program Kerohanian Bersama Anak-Anak Yatim anjuran Persatuan Isteri-isteri dan Kakitangan Wanita (Piskanita) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di Kangar baru-baru ini.

Anak yatim tersebut didedahkan dengan pelbagai aktiviti antaranya, program kerohanian secara mendalam terhadap cara-cara bersuci, menunaikan solat, berwuduk dan berdoa termasuk kesihatan dan penjagaan diri serta pertandingan mencari harta karun.

Dalam tempoh terdekat ini, Piskanita turut bercadang untuk menganjurkan kelas tambahan khas buat anak-anak yatim berkenaan bagi menghadapi peperiksaan pada tahun ini.

Yayasan Ehsan Jabbar sumbang bantuan

Posted:

Yayasan Ehsan Jabbar sumbang bantuan

Yayasan Ehsan Jabbar sumbang bantuan


SEBAHAGIAN penerima bantuan pada majlis Pelancaran Yayasan Ehsan Jabbar di Kampung Panji, Kota Bharu baru-baru ini.


HULUR BANTUAN. Seramai 200 warga emas, anak yatim, ibu tunggal, fakir miskin serta pelajar cemerlang di sekitar negeri ini menerima sumbangan daripada Yayasan Ehsan Jabbar di Cabang Tiga Panji, Jalan Sabak, Kampung Panji, Kota Bharu, Kelantan baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kamaruzaman Che Hussain berkata, objektif penubuhan yayasan itu adalah untuk membantu masyarakat Islam dan rakyat negara ini yang mengalami kesusahan dan ia merupakan salah satu bentuk khidmat sosial Al-Jabbar Group.

Menurutnya, sebagai permulaan, Kelantan dipilih lokasi pertama sebelum ia diperluaskan ke seluruh negara secara berperingkat dalam waktu terdekat.

Kosmo Online - Stailo

sumber :-

Kosmo Online - Stailo


Personaliti penentu gaya dan karisma

Posted:

Personaliti penentu gaya dan karisma

Personaliti penentu gaya dan karisma

Susunan IZYAN LIYANA MOHD. DARIF

PADA bulan November dua tahun lalu, pejuang demokrasi yang dianggap srikandi Myanmar, Aung San Suu Kyi, 67, tersenyum gembira apabila disambut oleh jutaan penyokong setianya. Dia akhirnya dibebaskan dari perintah tahanan rumah di Yangon selepas dipenjara sekitar tahun 1990.

Nampaknya, semangat dan usaha Suu Kyi dalam memperjuangkan sistem demokrasi di tanah airnya tidak pernah luntur meskipun aktiviti berkenaan pernah tergendala seketika gara-gara meringkuk di dalam penjara.

Kini pengasas parti Parti Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) yang memiliki sifat suka berterus-terang itu meneruskan perjuangan demokrasi yang masih belum selesai.

Menarik tentang Suu Kyi yang turut dikenali sebagai The Lady, bukan jiwa kentalnya sahaja yang dipuji malah tata rias dan penampilannya turut menjadi topik hangat dalam kebanyakan blog serta majalah. Ramai pemerhati menyifatkan penerima Nobel Keamanan itu sentiasa tampil anggun dalam persalinan tradisional Myanmar, longyi, selain bersanggul dan dihiasi sematan bunga di kepala.

Longyi merupakan sejenis kain sarung yang diperbuat daripada kapas atau sutera yang panjangnya dari pinggang hingga ke buku lali. Kostum tradisi turun-temurun berkenaan merupakan pakaian wajib dalam kalangan pelajar sekolah-sekolah, universiti dan kebanyakan tempat pekerjaan.

Longyi yang didatangkan dalam variasi warna lembut dan terang itu turut menjadi pilihan golongan lelaki tempatan yang masih berpegang teguh pada adat resam dan budaya. Namun malangnya, pada tahun 2010, Myanmar pernah dihimpit konflik pemakaian apabila kelompok wanita muda di kawasan bandar enggan dan malu untuk menggayakan longyi.

Mereka menyifatkan kostum tradisional yang dipakai bersama blaus mini paras pinggang itu ketinggalan zaman dan tidak ideal dipakai pada zaman moden. Lebih menyedihkan, sebahagian besar wanita sanggup mengetepikan aspek moral dan budaya dek terlalu obses pada item fesyen moden. Mereka mula mengagung-agungkan seluar jean potongan sendat, baju T, kardigan dan skirt pendek paras paha.

Namun begitu, situasi 'buruk' berkenaan semakin surut gara-gara inisiatif Suu Kyi yang sentiasa mengangkat taraf longyi pada tahap yang tinggi. Buktinya, ibu kepada dua cahaya mata itu terus bangga memakai blaus yang dipanggil anyi bersama longyi acap kali menghadiri mesyuarat, berkempen mahupun bertemu dengan para pemimpin dari luar negara.

Kembali popular

Menurut seorang tukang jahit bernama Rangoon dari butik Sanchaung Township, hari


YINGLUCK memadankan blaus berkolar Mandarin bersama skirt rona kuning lembut ketika mengunjungi Beijing, April lalu.


"Selain fabrik pilihan, mereka turut membawa foto Suu Kyi, yang sopan memakai kostum tradisional. Ada yang memilih bahagian leher potongan bulat, ada juga menambah perincian seperti butang dan sulaman bunga di dada blaus.

"Bukan itu saja. Sesetengah wanita menyukai lengan panjang, ada pula yang selesa lengan pendek dan potongan tiga suku. Semua konsep jahitan dan rekaan fesyen ini selalu digayakan oleh Suu Kyi," tambahnya.

Sementara itu, artikel daripada majalah Irrawady, memaparkan tindakan golongan wanita hari ini yang turut meniru gaya Suu Kyi, dengan mencalit gincu nipis dan menyemat bunga di sanggul.

Keseluruhan pesona Suu Kyi itu kini disaksikan masyarakat dunia melalui filem The Lady yang dilakonkan oleh Michelle Yeoh.

Jaket rona ceria

Jika Suu Kyi lebih selesa dengan kostum tradisional Myanmar, Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra, pula sentiasa berimej korporat dan ceria dalam persalinan jaket serta blaus warna terang.

Wanita yang mengetuai Parti Pheu Thai (Untuk Rakyat Thai) itu gemar memakai skirt ataupun seluar panjang rona hitam yang ideal disuai dan padan dengan blaus pelbagai warna.

Malah, Yingluck yang memiliki rambut lebat berwarna coklat gelap keperangan itu juga gemar bereksperimen dengan seleksi blaus bermacam-macam potongan seperti stail kimono dan sulaman. Ini termasuklah memilih blaus yang dihiasi ropol, reben dan kolar potongan Mandarin ala ceongsam.

"Bergelar pemimpin bukan mudah kerana saya perlu menjaga negara, rakyat dan juga penampilan diri. Justeru, saya selalu memilih pakaian konsep feminin dan sesuai dengan gaya korporat," tutur Yingluck yang turut menyatakan minat terhadap kasut tinggi, tapak rata ala balet dan but jenama Burberry.

Jalinan tocang Tymoshenko


PEMERHATI fesyen di Australia menyifatkan Julia Gillard cukup sinonim dengan busana kombinasi hitam dan putih daripada jenama terkenal.


Mantan Perdana Menteri Ukraine, Yulia Tymoshenko, 52, pernah diangkat sebagai Ratu Cantik sebenar dalam kalangan rakyat tempatan. Memiliki kulit wajah yang mulus, aplikasi maskara dan gincu bibir rona coklat antara faktor yang menyumbang pada kecantikan Tymoshenko.

Namun, penampilan utama yang sering mencuri tumpuan ramai adalah jalinan tocang rambutnya yang dililit kemas di atas kepala. Bahkan, lilitan tocang itu membuatkan Tymoshenko seperti memakai mahkota khas.

"Saya tidak gemarkan pembedahan kosmetik dan mencucuk wajah kerana ia tidak kekal lama serta menyakitkan. Menata rias secara natural lebih baik untuk tampil menawan dan anggun," jelas Tymoshenko yang kini sedang menjalani hukuman penjara penjara selama tujuh tahun atas tuduhan salah guna kuasa berhubung pembelian gas dengan Rusia pada 2009 yang dikendalikannya.

Sut putih Gillard

Sementara itu, Perdana Menteri Australia, Julia Gillard, juga tidak lekang daripada menjadi subjek lensa kamera media dan paparazi. Pemimpin Australia yang berkuasa pada bulan Oktober 2010 itu, kerap dilihat menyarungkan sut rona putih dalam kebanyakan acara dan aktiviti.

Penampilannya itu pernah menghiasi sebuah majalah fesyen negara itu dan beliau disifatkan begitu sinonim dengan warna putih. Selain itu, wanita yang gemar tersenyum itu turut dikenali dengan potongan rambut bertingkat dan stail rambut bob.

Trend Moden Muslimah

Posted:

Trend Moden Muslimah

Trend Moden Muslimah

Oleh ALIF ABU BAKAR


ROZILAH (kiri) dan Azlihana menunjukkan deretan busana yang dijual di Butik Matahati Fashionista.


WANITA berbadan gempal lazimnya dikaitkan dengan kurang keyakinan diri untuk bergaya. Melihatkan teman-teman di sekeliling yang tampil anggun dengan busana Muslimah pelbagai potongan, golongan bersaiz ekstra juga sebenarnya menyimpan impian yang sama.

Namun, pembukaan Butik Matahati Fashionista akhirnya memberi peluang buat perempuan bersaiz besar menikmati peredaran fesyen. Rangkaian dres dan blaus rona terang dihiasi motif menarik, menghidupkan keyakinan mereka.

Bukan itu sahaja, kaum Hawa hari ini juga lebih tertumpu pada pakaian yang mempunyai sambungan penutup kepala (hoodie). Sama ada dres, blaus atau kardigan dengan hoodie, ia bergantung pada pilihan masing-masing.

Busana dengan cantuman hoodie meningkatkan imej kesopanan buat si bertudung yang mahu kelihatan berbeza. Mereka yang memilih untuk melepaskan rambut pula akan tampak ranggi dengan pakaian tersebut.

Sorotan palet terang seperti merah, kuning, biru dan hijau menyerlahkan aura feminin si pemakai. Paduan warna terang dan gelap pula disuntik dengan penggunaan motif bintik polka bagi menyerikan penampilan.


HOODIE melengkapkan gaya ranggi perempuan.


"Material yang kita gunakan pula terdiri daripada pelbagai jenis kain kapas. Ia bagi menepati cuaca di negara ini yang panas dan lembap sepanjang tahun.

"Kombinasi warna terang dan fabrik tersebut menjadikan busana yang dijual di butik ini tidak terlalu menyerap haba," ujar pemilik Matahati Fashionista, Azlihana Abdul Rahim, 36, ketika ditemui pada majlis perasmian butik tersebut.

Tidak terhad untuk wanita dewasa, busana yang disediakan di butik itu juga menepati cita rasa remaja perempuan bermula usia 12 tahun.

Aksesori yang ditawarkan juga mengikut peredaran zaman. Antara pelengkap gaya yang popular dalam kalangan wanita Muslimah hari ini ialah turban. Penangan aksesori itu cukup hebat dan tidak hanya digayakan kelompok selebriti, wanita biasa juga sudah berani tampil di tempat awam dengan turban.

"Harga yang kami tawarkan adalah berpatutan. Blaus dengan hoodie dijual bermula pada harga RM89 manakala dres pada harga RM180 ke atas," ujar pemilik bersama butik tersebut, Rozilah Abdullah, 46.

Rejim kecantikan Noryn

Posted:

Rejim kecantikan Noryn

Rejim kecantikan Noryn

Oleh IZYAN LIYANA MOHD. DARIF


NORYN selesa menyolek sendiri dan memilih konsep smokey eyes.


PADA bulan November ini, penyanyi lagu berentak R&B dan jazz, Noryn Aziz bakal menginjak usia 36 tahun. Namun, peningkatan umur sedikitpun tidak membimbangkan anak kelahiran Shah Alam, Selangor itu malah menyifatkan ia satu proses normal yang pasti dilalui oleh setiap individu.

"Apabila usia bertambah, kehadiran garis halus yang ketara pada wajah bukanlah masalah utama bagi saya kerana ia boleh diatasi dengan penggunaan produk kosmetik dan petua tradisional. Tetapi, perkara yang merungsingkan ialah tahap metabolisma badan yang semakin rendah.

"Berat badan boleh naik secara mendadak, namun memerlukan tempoh yang lama untuk menurunkannya. Sebab itu, kini saya menitikberatkan soal pemakaian seimbang, berkhasiat dan pengambilan makanan tambahan," jelas Noryn atau nama sebenarnya Norazmahwati Abd. Aziz, ketika ditemui Stailo di Hotel Quality, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Guru vokal di International College of Music (ICOM), Jalan Setapak, Kuala Lumpur itu memberitahu, untuk kekal langsing dan cantik dia menolak rawatan moden seperti suntikan botox. Sebaliknya, menjalani rejim harian yang disarankan pakar kecantikan profesional dan hasil bacaan menerusi Internet.

Justeru menerusi ruangan Riak Rias minggu ini, Noryn Aziz sudi berkongsi tip penjagaan wajah dan penampilan yang selamat dan mudah untuk dipraktikkan di rumah.

Amalan membersih wajah

Bagi mengatasi masalah pigmentasi, jerawat dan kulit wajah berminyak, Noryn akan memastikan wajahnya dicuci dan dilapisi krim pelembap serta pelindung sinaran ultra ungu (UV). Jelasnya, jenama La Mer merupakan produk penjagaan wajah kegemaran kerana sesuai dengan jenis kulitnya yang kering.

Selain itu, Noryn turut menggunakan Serum Rodial Glamoxy Snake yang digunakan oleh selebriti antarabangsa seperti Kylie Minogue, Victoria Beckham dan Katie Holmes. Serum yang mengatasi masalah penuaan dan mengurangkan kedutan itu dihasilkan daripada ekstrak buah delima yang kaya dengan antioksida. Ia turut mengandungi kolagen dan agen penegang yang membantu membuatkan kulit lebih sekata serta lembut.

Wajib bersolek


NORYN AZIZ, meminati busana rona gelap dan stail elegan.


Noryn kurang selesa keluar dari rumah sekiranya wajah tampak kusam dan pucat. Atas faktor tersebut dia akan mengoles gincu bibir, bercelak dan menyapu pemerah pipi.

"Saya suka solek sendiri kerana bebas memilih konsep dan warna pilihan. Biasanya konsep smokey eyes menjadi keutamaan supaya sepasang mata kelihatan galak dan besar," jelas Noryn yang menggemari pembayang mata rona hitam, coklat dan kuning keemasan.

Turban dan selendang

Selepas mengerjakan umrah pada tahun 2008, Noryn mengambil keputusan untuk membuang imej seksi dan selesa dengan lilitan turban. Namun, pada dua tahun lalu, dia nekad bertudung sepenuhnya sebaik saja pulang daripada menunaikan ibadah haji.

Noryn gemar membeli selendang yang berasaskan fabrik kain kapas kerana sesuai dengan cuaca Malaysia yang panas dan lembap. Pada masa yang sama, selendang jenis itu mudah digayakan dengan pelbagai teknik lilitan.

Makanan kesihatan badan

Selain menikmati sayur-sayuran organik dan mengelakkan makan malam, Noryn turut mengambil pil suplemen yang membantu membuang toksin, menyihatkan tubuh badan dan memberi tenaga supaya tidak mudah letih. Dalam sehari, Noryn mengambil sehingga sembilan biji vitamin dan suplemen.

Gemar melulur

Sebulan sekali Noryn akan menghabiskan masa sekurang-kurangnya empat jam untuk menjalani rawatan badan dan wajah di salah sebuah spa di Sri Hartamas, Kuala Lumpur. Selain bertangas yang menggunakan herba, dia akan menjalani proses mandian susu untuk mencerah dan menghaluskan kulit badan, urutan serta lulur.

"Saya suka melulur badan. Boleh dikatakan setiap hari saya melulur badan di rumah bagi menanggalkan kotoran dan sel kulit mati," tambah Noryn yang menyukai busana nuansa gelap.

Kosmo Online - Varia

sumber :-

Kosmo Online - Varia


Mencari tukang gunting mahir

Posted:

Mencari tukang gunting mahir

Mencari tukang gunting mahir

Oleh MAZLINA ABDUL MAJID
mazlina.majid@kosmo.com.my

BANYAK pendedahan berguna diajar kepada para peserta kursus di NAZ Training Centre.


KEMBARA Nazri Kamal ke mana-mana destinasi bukan sekadar melepaskan lelah. Sebaliknya, dia sentiasa mengkaji dan membawa balik idea berdasarkan pemerhatiannya.

Semasa lelaki itu di Bangkok, Thailand, dia melihat amalan tradisi tukang gunting rambut yang berbasikal ke sekolah-sekolah untuk mengambil upah menggunting rambut para pelajar.

Melihat senario itu, anak kelahiran Negeri Sembilan itu telah mendapat ilham untuk mencipta sesuatu yang baharu di tanah airnya sendiri.

"Saya fikir, mengapa tidak kita ambil sedikit idea orang Bangkok itu tetapi kita ubah suai sedikit mengikut kesesuaian negara kita.

"Apabila saya melihat tukang-tukang gunting di sini kebanyakannya dimonopoli oleh bukan kaum Melayu dan kurangnya kursus gunting rambut khasnya untuk gunting rambut lelaki, saya terus berfikir untuk mewujudkan akademi gunting rambut," katanya ketika ditemui baru-baru ini di pejabatnya di Seremban, Negeri Sembilan.

Maka, hasil perbincangan rapi dan berbekalkan bajet yang mencecah lebih RM50,000, NAZ Training Centre ditubuhkan.

Di NAZ Training, Nazri yang juga merangkap sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, mengkhususkan kepada kursus menggunting rambut lelaki.

Yuran

Menjelaskan lebih lanjut tentang akademinya, Nazri berkata, peluang yang direalisasikannya dengan kerjasama Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Perbadanan Kemajuan Negeri, Negeri Sembilan (PKNNS) harus direbut oleh mereka tidak mengira lepas umur.

"Sebenarnya, ia merupakan berita baik kepada mereka tidak kira muda atau tua.

"Selain kita tidak menitikberatkan soal keputusan peperiksaan semasa membuat pengambilan, kita turut membantu para pelajar kita dengan memberi dana daripada beberapa pihak yang masih dalam perbincangan dengan pihak NAZ Training," katanya sambil menambah, setiap pelajar akan diberi elaun sebanyak RM200 sebulan.

Namun, sebagai permulaan, mereka harus membayar yuran sebanyak RM5,000.


KURSUS di NAZ Training Centre menarik minat ramai golongan muda.


Akademi yang bakal memulakan pengambilan sulung pada 1 Jun ini hanya memperuntukkan tiga bulan sahaja untuk pelajar memahirkan diri.

Jangan gusar tentang tenaga pengajarnya kerana kesemua adalah mereka yang sudah berpuluh-puluh tahun berpengalaman dalam industri itu.

Salah seorang daripadanya ialah Samsul Jamaludin yang sudah 20 tahun bekerja sebagai tukang gunting rambut profesional di beberapa buah salun terkemuka negara.

"Kami akan mengajar bermula daripada aspek teori dan praktikal dan iltizam saya ialah untuk menjadikan para pelajar profesional seperti saya," katanya.

Barber 1Malaysia

Kata Nazri, selepas mengikuti kursus selama tiga bulan, kesemua pelajarnya akan diberi peluang pekerjaan.

Namun, sebelum itu, dia terlebih dahulu mahu mengajak mereka untuk melakukan aktiviti amal.

"Saya cadang membawa mereka menggunting rambut para penghuni rumah kebajikan dan ke sekolah-sekolah untuk menggunting rambut para pelajar dengan harga yang begitu murah. Kita mahu memberi pendedahan yang secukupnya sebelum mereka mampu berdiri sendiri," katanya.

Serentak dengan itu, NAZ Training Centre turut akan memberi ruang kepada pelajarnya menyertai kursus Keusahawanan Barber 1Malaysia.

Ada sebab kursus keusahawanan itu diterapkan sekali. Nazri sebenarnya mempunyai misi besar untuk mewujudkan konsep Kedai Barber 1Malaysia di 317 buah tanah rancangan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).

"Saya berhasrat untuk melaksanakan satu Felda, satu tukang gunting dan satu kawasan Parlimen dengan lima tukang gunting.

"Jadi, inilah peluang kepada semua pelajar untuk menjadi usahawan tukang gunting dan saya percaya, pendapatannya agak lumayan," ujarnya..

Bagi merealisasikan gagasan berskala besar itu, NAZ Training Centre sedang mengemukakan cadangan kepada beberapa badan tertentu seperti Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora), Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) dan Felda untuk menarik lebih ramai pelajar di kawasan masing-masing untuk mengikuti kursus ini.

Berita Harian: Ratu

sumber :-

Berita Harian: Ratu


Antara fesyen dan keperluan?

Posted: 29 Apr 2012 05:29 PM PDT

Ratu

'Retainer' atau pendakap sementara yang boleh ditinggalkan manakala gambar bawah, brackets besi di pasang pada gigi.

'Retainer' atau pendakap sementara yang boleh ditinggalkan manakala gambar bawah, brackets besi di pasang pada gigi.

PERCAYA atau tidak, jika dulu ada yang melihat mereka yang memakai pendakap ini 'hodoh', tidak lagi sekarang. Malah, ramai yang beranggapan pendakap gigi itu membuatkan seseorang itu tampak lebih comel!

Ibarat perang fesyen, penggayaan pendakap gigi semakin ketara apabila semakin ramai yang mula terikut-ikut mengenakan pendakap gigi. Malah, bagi menampakkan mereka bergaya, ada yang sanggup mengenakan padanan warna getah yang pelbagai dan menarik. Bukan saja orang biasa, kalangan selebriti daripada bintang ternama dan kerabat diraja luar negara seperti Tom Cruise dan Putera Harry di Britain, menganggap pendakap gigi satu kemestian bagi mencantikkan gigi serta menyempurnakan penampilan diri.

Begitu juga barisan supermodel yang menyedari kehebatan pendakap gigi sebagai alat bagi menyempurnakan wajah yang dihodohkan dengan barisan gigi jongang, tidak teratur serta rongak. Tidak hairanlah, demam penggunaan pendakap gigi ini turut menular ke negara kita, termasuk wanita sudah berusia demi memastikan kesempurnaan penampilan selain memudahkan gigi mengunyah makanan.

Pendakap gigi dipasang pemakai memerlukan perlu menjalani rawatan berkala setiap empat hingga enam minggu untuk melihat perkembangan rawatan. Doktor akan melakukan penyenggaraan pendakap gigi setiap kali rawatan. Ada pemakai menunjukkan perkembangan yang baik dan mereka tidak memerlukan rawatan tidak sampai dua tahun. - Dr Aimi Abdul Latiff, Pengamal Pergigian Am dan Orthodontik

Namun, perkembangan penggunaan pendakap gigi bagi tujuan kecantikan, ia seharusnya bermula pada keperluan dalam penjagaan oral kerana mulut yang bersih dan sihat akan memberikan kesihatan yang maksimum buat diri.

Menjelas tentang penggunaan pendakap gigi secara terperinci, Pengamal Pergigian Am dan Orthodontik, Dr Aimi Abdul Latiff berkata, pendakap gigi sebenarnya bertujuan untuk mengubah kedudukan gigi supaya lebih teratur dan mudah di bersihkan bahkan seiringan itu memberi penjagaan sepenuhnya terhadap kesihatan oral.

Di samping untuk penjagaan kesihatan, pendakap gigi juga memberikan kesan penampilan yang lebih meyakinkan buat penggunanya.

"Rawatan orthodontik bertujuan untuk membantu gigi yang bermasalah berfungsi sepenuhnya. Gigi yang bermasalah bukan saja menjejaskan komunikasi, tetapi sebaliknya juga penampilan seseorang.
"Ramai pesakit juga mendapatkan rawatan memasang gigi palsu untuk mengembalikan keyakinan diri tetapi juga mengelak dari masalah gusi agar ia dapat dicuci dengan betul," jelasnya ketika ditemui, baru-baru ini.

Sehubungan itu, Dr Aimi memberitahu, pesakit yang mempunyai gigi berlapis, jonggang atau gigi jarang dinasihatkan, untuk menggunakan pendakap gigi bagi mengembalikan kedudukan gigi yang lebih sempurna dan teratur. Ada juga beberapa jenis struktur gigi yang diharuskan memasang pendakap gigi untuk memberikan keselesaan terhadap pesakit.

Sambungnya, keadaan gigi yang teratur juga boleh berlaku atas beberapa sebab antaranya faktor genetik dan banyak lagi.

"Antara sebab utama keadaan gigi tidak seimbang adalah kerana bentuk rahang bahkan ada pula yang mengalami pertumbuhan gigi lebih dari biasa hingga menyebabkan gigi berlapis.

"Ada juga beberapa peratus pesakit yang mempunyai gigi kekal yang tidak tumbuh dengan bentuk hingga tampil jarang atau berjarak antara barisan gigi," jelasnya sambil menunjukkan langkah pemasangan pendakap gigi.

Katanya, sebelum mendapat rawatan lanjut, pakar akan meneliti terlebih dulu masalah pesakit sebelum mengambil langkah selanjutnya.

"Pakar Orthodontik akan mengenal pasti jenis rawatan yang diperlukan. Sekiranya masalah serius, beberapa batang gigi perlu dicabut. Doktor akan melakukan ujian x-ray gigi untuk menentukan pelan jenis rawatan. Seterusnya acuan gigi akan dihasilkan bagi kajian modul.

"Pendakap gigi dipasang pemakai perlu menjalani rawatan berskala setiap empat hingga enam minggu untuk melihat perkembangan rawatan. Doktor akan melakukan penyenggaraan pendakap gigi setiap kali rawatan. Ada pemakai menunjukkan perkembangan yang baik dan mereka tidak memerlukan rawatan yang lama namun tidak sampai dua tahun," katanya.

Sambungnya, ada juga pemakai yang tidak mengambil berat menyebabkan rawatan tidak berkesan dan mengambil masa yang lebih panjang. Setiap rawatan hanya mengambil masa 10 hingga 15 minit.

"Selepas meneliti dan memastikan keadaan gigi pesakit sudah bersedia untuk menjalani pembedahan Orthodontik dan pemasangan pendakap adalah bergantung kepada struktur atau masalah gigi pesakit.

"Pesakit juga perlu mengetahui bahawa rawatan biasanya hanya akan dicadangkan jika mereka mempunyai kesihatan mulut yang baik, tanpa karies atau penyakit dan tahap kesihatan diri yang baik. Mereka juga perlu bermotivasi tinggi untuk menerima rawatan yang berlanjutan sehingga bertahun-tahun lamanya," katanya.

Sepanjang penggunaan pendakap gigi, pemakai perlu menjaga kebersihan mulut dengan baik. Mereka perlu memberus setiap kali selepas makan dan mengamalkan diet rendah gula.

Seandainya pendakap yang dipasang tidak dijaga dengan rapi, pesakit bakal berhadapan dengan kesulitan antaranya getah pendakap putus atau pendakap tertanggal dan sebagainya.

"Elakkan makanan yang keras atau liat kerana ia bakal melekat pada lilitan 'brackets' atau dawai besi hingga tertanggal sendirinya. Gula-gula getah, dodol atau coklat juga kurang sesuai untuk pesakit yang mengenakan pengakap gigi kerana ia boleh menyebabkan karies. Kerap membersihkan mulut bagi mengelakkan gusi bengkak.

"Bagi proses selepas pemakaian pula, apabila doktor menentukan susunan gigi sudah rata, pendakap gigi akan dibuka. Ada pemakai memerlukan masa tidak sampai dua tahun dan ada juga sehingga tiga tahun bergantung juga kepada umur. Selepas pendakap gigi ditanggalkan, mereka perlu memakai retainer. Saya menyarankan pemakaian retainer 24 jam untuk enam bulan pertama. Selepas itu, mereka hanya perlu memakai pada waktu tidur.

"Namun, masih ada sesetengah kes membabitkan masalah susunan gigi berulang disebabkan keengganan memakai retainer," jelasnya.

Ketika ditanya mengenai kesesuaian usia pengguna, Dr Aimi memberitahu penggunaan pendakap gigi biasanya boleh dipakai sekitar usia 12 tahun bergantung kepada pertumbuhan gigi yang lengkap. Bagaimanapun, ada sesetengah kes di mana rawatan awal perlu diberikan kepada pesakit lebih muda.

Katanya lagi, warna getah yang diletakkan pada pendakap pula boleh dipilih sendiri oleh pesakit bagi memberikan mereka kegembiraan apabila melihat gigi mereka di cermin.

"Sekitar usia 12 tahun, seorang pesakit dikira sudah mula memahami keadaan atau masalah gigi dihadapi mereka dan perkara ini memudahkan mereka untuk tampil beri kerjasama sepanjang menjalani rawatan atau soal penjagaan gigi.

"Kematangan juga memainkan peranan penting kerana kadang kala sepanjang penggunaan, pesakit juga diperlukan untuk menukar sendiri getah di rumah dan ia amat memerlukan kemahiran tangan untuk melakukannya dengan betul.
Bagaimana pun dengan kosnya?

"Kos keseluruhan pemasangan pendakap gigi adalah kira-kira RM5,000 sepanjang rawatan, tetapi ia bergantung pada struktur atau pembedahan diperlukan pesakit," katanya.

Mulut luka, kos mahal dan jaga makan antara cabaran

MEMILIKI gigi yang kurang teratur, komunikasi atau segala aktiviti yang membabitkan oral pastinya akan terganggu sedikit sebanyak. Bahkan, keadaan gigi yang tidak normal juga bakal mengundang kepada pelbagai masalah mulut.

Keadaan gigi yang bersepah atau tidak tersusun juga menyebabkan penampilan terjejas. Segelintir individu juga mengakui keadaan itu menyebabkan mereka kurang berkeyakinan untuk menunjukkan gigi bila bersemuka dengan masyarakat umum.

Menceritakan pengalamannya memakai pendakap gigi selama sembilan bulan, Nurul Huda Nordin, 19, memberitahu walaupun pada mulanya dia agak dilema kerana khuatir dengan kesakitan bakal dihadapinya kelak.

Di samping itu, pelajar itu juga khuatir jika niatnya untuk memperbaiki kedudukan giginya adalah bercanggah dengan tujuan asal dan merubah kejadian Allah.

Katanya, bagaimanapun keadaan berubah selepas berjumpa dengan pakar memandangkan struktur giginya yang tidak teratur hingga menyukarkan rutin hariannya.

"Tujuan saya memakai pendakap gigi adalah untuk mengembalikan struktur gigi saya yang teruk pada kedua bahagian atas dan bawah. Kedudukan gigi sebegitu menyukarkan rutin harian malahan ia juga boleh mendatangkan kemudaratan pada jangka masa panjang.

"Doktor juga memberitahu bahawa keadaan gigi yang tidak tersusun juga bakal mengundang pelbagai masalah oral yang tidak diingini antaranya termasuk tartar dan makanan mudah tersangkut pada celahan gigi mengundang bakteria.

"Memandangkan ibu saya juga tidak mempunyai masalah dalam soal perbelanjaan kos memasang pendakap gigi dan dia juga menyokong pendapat saya untuk menggunakannya, lantas saya pun mengambil keputusan untuk memperbaiki struktur gigi saya," katanya.

Bercerita lanjut mengenai pengalaman memakai pendakap gigi, Nurul Huda menjelaskan bahawa pada mulanya dia terpaksa berhadapan dengan masalah mulut dan pipi yang luka akibat kedudukan besi yang dipasang pada giginya. Keadaan itu juga menyukarkan dia untuk menggerakkan mulut.

"Pada mulanya saya terpaksa menahan kesakitan kerana mulut masih tidak biasa dengan kehadiran besi yang melukakan pipi dan sekitarnya.

"Kesulitan tidak terhenti di situ, selepas menjalani rawatan susulan, saya selalunya tidak dapat menikmati hidangan berikutan keadaan gigi yang sakit dan masih bergerak selepas diikat. Jadi, memasang pendakap gigi bukanlah seperkara yang menyeronokkan atau mengejar kecantikan semata-mata," jelasnya.

Selepas menjalani rawatan dan mula melihat perbezaan pada struktur gigi, katanya bagi mendapatkan kesan pemakaian pendakap yang lebih produktif, dia akan pastinya setiap nasihat dan rutin tentang penjagaan dilakukan dengan betul.

"Kos pemasangan pendakap gigi bukan sedikit, ibu membelanjakan RM4,500 untuk mendapatkan kedudukan gigi sempurna ditambah pula dengan pelbagai kesulitan dialami selama ini, perlu untuk saya jaga dengan betul.

"Dalam menjaga kebersihan oral, saya pasti memberus gigi setiap kali selepas makan dan berkumur bagi memastikan tiada sisa makanan yang tertinggal pada celahan gigi atau besi.

"Selain itu, saya juga akan pastikan setiap rawatan susulan dilakukan mengikut jadual ditetapkan agar setiap perkembangan gigi dapat diteliti oleh doktor, "katanya.

Refleksi Ratu: Antara debaran, pengiktirafan pekerja

Posted: 29 Apr 2012 04:32 PM PDT

Ratu

ESOK bukan sekadar cuti umum, sebaliknya tarikh 1 Mei itu menjadi detik bermakna dalam diari insan bergelar pekerja. Mana tidaknya, sambutan Hari Pekerja itu secara langsung mengiktiraf sumbangan pekerja dalam pembangunan negara.

Cuma kehadiran Hari Pekerja kali ini diselubungi suspens atau debaran tersendiri, khususnya bagi pekerja swasta dan golongan wanita yang menjadi antara tiang seri utama kelompok ini.

Apa tidaknya, kira-kira jam 8 malam ini, seramai 3.2 juta pekerja swasta bakal menerima berita gembira apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, akan mengumumkan kadar gaji minimum bagi sektor swasta. Sudah pasti ramai yang menunggu pengumuman yang menyusuli perundingan antara majikan dan pekerja dalam Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) yang dianggotai majikan, pekerja, penjawat awam, pakar ekonomi serta pakar dengan kerajaan hanya memutuskannya berdasarkan syor majlis berkenaan. Tujuan utama gaji minimum adalah bagi memastikan pekerja mempunyai pendapatan terjamin yang mencukupi bagi membiayai keperluan asas sendiri dan keluarga selain sebagai perlindungan sosial kepada pekerja bergaji rendah. Sudah pasti, kerjasama kerajaan, kesatuan sekerja dan persatuan majikan dalam MPGN itu memberi harapan kepada pekerja sektor swasta meningkatkan pendapatan sekali gus memberikan lonjakan kepada produktiviti dan pembangunan ekonomi negara. Justeru, pengumuman jam 8 malam ini bukan saja dinantikan kalangan pekerja itu semata-mata, malah keluarga yang bergantung harap kepada mereka.

Andai diamati, selain soal gaji minimum, satu lagi cabang yang menjadi tumpuan pekerja adalah soal had umur persaraan. Rang Undang-undang Umur Persaraan Swasta bagi menaikkan had umur persaraan sehingga 64 tahun dengan had bersara mandatori 60 tahun, sepatutnya dibentangkan pada sesi Sidang Dewan Rakyat lalu, tetapi masalah teknikal menyaksikannya dijangka dibentangkan pada sesi Jun ini. Namun, ia berserta syarat iaitu jika usul mengenainya diterima.

Mungkin ada yang menyatakan apa pentingnya had persaraan umur itu? Andai sudah tiba usia 55 tahun dan harus bersara, maka bersaralah! Serahkah saja 'baton' pekerjaan itu kepada generasi muda untuk meneruskan kemudi di jabatan atau syarikat. Hakikatnya, itu cuma cakap-cakap mereka yang melihat aspek itu dari sudut terpencil, tetapi andai diselidik sehingga ke dasarnya, soal penetapan had umur persaraan yang mencecah 60 tahun adalah berdasarkan keupayaan diri serta tuntutan dan keperluan hidup masa kini dan masa depan, apalagi bagi yang bergelar ibu atau bapa untuk menanggung keluarga.

Apalah ertinya jika ketika kudrat masih mampu, otak masih ligat dengan idea yang bernas sebaliknya 'direncatkan' hanya kerana bersara. Perlu penting, rasional di sebalik penetapan had usia persaraan itu juga berkait rapat dengan keperluan dan tuntutan hidup individu itu sendiri. Apalah yang mampu dibuat jika pada usia persaraan 55 tahun, simpanan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebaliknya tidak cukup untuk meneruskan kehidupan mendatang, apalagi rata-rata ramai yang mampu hidup sehingga usia 70 tahun. Justeru, andai mampu bertugas sehingga usia 60 tahun, dengan gaji tetap dan simpanan KWSP yang mencukupi, tempoh pasca persaraan dapat ditempuh dengan tenang.
Bukan apa, suka atau tidak, realiti yang terbentang di depan mata dengan permasalahan jurang besar generasi tua dan muda, ditambah dengan pelbagai laporan negatif warga tua berlindung di rumah kebajikan, ada perlunya pesara mempunyai wang mencukupi daripada bergantung kepada pemberian wang anak-anak. Kata orang, susah senang, busuk-busuk pun, biarlah wang sendiri.

Selain itu, sudah pasti tidak lengkap bicara kemeriahan Hari Pekerja tanpa menyingkap peranan insan bergelar wanita. Bukan niat mahu masuk bakul angkat sendiri, tetapi hakikatnya pekerja wanita juga banyak sumbangannya. Silap jika ada yang melihat wanita itu sebagai pekerja semata-mata, sebaliknya mereka terpaksa menjadi insan serba boleh mengimbangi antara keperluan di pejabat serta sebagai isteri, ibu dan anak yang perlu memenuhi tanggungjawab menanggung keluarga.

Malah, andai dilihat di sekeliling kita, kian ramai wanita menggalas bahu sebagai pekerja daripada peringkat bawahan sehinggalah yang menduduki kerusi pembuat keputusan biarpun bilangan di peringkat eksekutif itu masih rendah. Namun persoalannya, apakah 'status' sebenar pekerja wanita di negara ini? Benarkah bilangan mereka memadai dengan status sebagai golongan yang mendominasi bilangan kemasukan penuntut di institusi pengajian tinggi negara? Bagaimana dengan kedudukan Malaysia berbanding negara jiran lain dalam soal pembabitan pekerja wanitanya? Apakah lagi isu yang terus mengekang golongan ini?

Itulah yang akan sisipan RATU ketengahkan menerusi rencana tulisan wartawan, Nor Afzan Mohamad Yusof hasil menerusi temubual dengan Penganalisis Kanan Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia, Dr Jorah Ramlan, dalam sisipan ini, esok. Jangan lupa membacanya!

Selamat Hari Pekerja!